MY LOVE....
Saya dah berpunya. Ya, sudah lama berpunya. Kami bercinta sejak saya kecil lagi. Tapi bumi mana yang tak dilanda hujan, cinta mana yang tiada ujian. Terlalu banyak ujian dalam percintaan kami. Kadang-kadang saya curang. Saya cari cinta lain. Tak cukup dengan kehangatan cintanya. Atau mungkin saya terlupa akan kehadirannya. Tapi, dia tetap setia. Tak pernah beralih arah walaupun sesaat. Kadang-kadang saya jauh darinya, tapi dia tetap dekat dengan saya. Tak pernah pergi meninggalkan saya. Sentiasa bersama saya. Sentiasa sayangkan saya.
Banyak yang kami kongsi bersama. Tiap suka tiap duka. Tapi, selalunya saya hanya kongsi dengannya saat duka saya. Teruk kan? Bila saya sedih, saya menangis padanya. Mengadu setiap apa padanya. Dia pujuk saya dengan janji-janjinya. Dan dia tetap berada di sisi. Sentiasa. Bila saya pedih, barulah saya cari dia. Tapi sayangnya bila saya gembira, saya lupakan dia. Saya kongsikan kegembiraan dengannya hanya bila saya teringatkannya. Seperti dia tak pernah muncul dalam hidup saya. Jahatkan saya?
Terlalu banyak yang dia lakukan untuk saya. Setiap perbuatannya pasti untuk kebahagiaan saya. Walaupun saya jarang berterima kasih padanya, dia tak pernah berhenti memberikan yang terbaik pada saya. Malahan, semakin bertambah kasih dan sayangnya terhadap saya. Semakin bertambah pengorbanannya terhadap saya. Semakin bertambah cintanya terhadap saya. Malangnya, kadang-kadang saya merungut dengan perbuatannya itu. Tapi, dia tetap sabar dengan kerenah saya. Oh, jahatnya saya!!
Dia terlalu sayangkan saya. Tak pernah merungut tentang kekurangan diri saya. Tak pernah mengungkit kesilapan saya. Tapi saya? Saya selalu buat perkara yang dia tak suka. Apa yang dia suka, saya buat dengan main-main. Sampai boleh mendatangkan kemarahannya. Pernah ketika saya tak buat apa yang dia suruh. Seperti mencabar kewibawaannya. Tapi dia tetap sabar. Ya, dia sentiasa bersabar dengan saya. Apalah saya ni..
Pernah ketika, dia uji kesetiaan saya. Dia datangkan sesuatu yang buat saya lalai. Saya hanyut. Saya lupakan dia. Oh, saya gagal dalam ujian tu. Tapi, dia tetap terima saya semula. Dia maafkan saya. Baiknya dia!!
Dia memang sayangkan saya. Dia berikan sesuatu yang buat saya sentiasa mengingatinya. Terima kasih. Saya sangat-sangat berterima kasih padanya. Dengan cintanya, saya masih punya nyawa hari ini. Dengan cintanya, saya masih boleh menghirup udara hari ini. Dengan cintanya, saya masih boleh menggerakkan jari menulis entry ini. Dengan cintanya, saya diberi kesedaran kembali.
Terima kasih Ya Allah. Dengan cintaMu, aku dapat melakukan perintahMu. Maafkan aku atas kelalaianku selama ini. Kembalikanlah aku ke jalanMu yang benar. Terimalah keampunanku ya Allah. Sungguh, aku rindu padaMu. Pada kasih sayangMu. Terima kasih atas ujianMu. Buat aku sedar bahawa cintaMu adalah sebenar-benar cinta. Tiada cinta yang lebih agung dari cintaMu
Seribu kerinduan telah membakar diri ku
ReplyDeleteSeribu penyesalan telah melanda diri ku
Seribu kenangan menyerang diri ku..!