Pages

Dec 19, 2010

::SeKaDaR ReNuNgAn ::

Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan, menenangkan diri kita sendiri.
 
Kita telah menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa
kita. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan
kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan semakin jahil tentang
kebencian dan pe...
rmusuhan. Dan inilah maksud didikan Allah ketika menjadikan
manusia ujud secara bersama (co-existence) di atas dunia ini. Mungkin hikmahnya,
agar manusia belajar sesama manusia untuk merasa kesan didikan-Nya!

::SURAT CINTA SUAMI YANG LARA::

Belasan tahun yang lalu saya diuji. Dan kenangan atas ujian itu mekar kembali semasa saya ditakdirkan hadir sebagai panel forum cinta: Aku, dia dan kita di UTEM, Melaka beberapa malam yang lalu. Bersama saya sebagai  ahli panel ialah penasyid Suhaimi (mantan anggota IN-TEAM) dan isterinya Ina Naim (kalau tidak silap saya).
Mereka berdua meluahkan dan mengimbau rasa dan peristiwa cinta mereka berdua yang cukup indah dan berwarna warni. Kerana itu di dalam hati saya, berbunga kembali kenangan lalu… kenangan ketika cinta sendiri diuji. Sangat mahal kenangan itu. Sampai kini ia jadi pengajaran yang sangat mahal harganya buat pedoman diri.
Jarang saya ingin berkongsi soal peribadi. Justeru saya sedar saya adalah suami yang sedang bermujahadah… dulu, kini dan selamanya. Namun secara tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk menyampaikan. Manalah tahu ada yang wajar dikongsi sebagai ingatan dan didikan bersama. Lalu saya bongkar kembali surat-surat lama. Lalu saya pilih satu daripadanya. Setelah disunting beberapa hal yang terlalu personal… hasilnya saya kira boleh dimanfaatkan bersama. Kini ia telah jadi milik kita, bukan milik saya.
Sudi apalah kiranya menatap surat itu:
Surat Cinta Suami Yang Lara!
Wahai isteri, Kumulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihan mu juga.Ya Allah… aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhirat kami. Mudah-mudahan keluh-kesah, resah-gelisah kami menerima ketentuan-Mu ini, Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya kami sebagai hamba-Mu yang berdosa. Semoga kesedihan dan kebimbangan kami dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju-Mu di jalan mujahadah.Kami lemah ya Allah… namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah… ujian ini menjadi tebusan pada dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba ya Allah… ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina. 
Syukur ya Allah … kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasai hakikat cinta-Mu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.
Isteriku,
Suratmu telah kubaca. Terima kasih sayang. Membacanya seperti membaca hatiku. Aku tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya menulis, siapa lagi yang sebenarnya membaca… kerana suratmu adalah suara hatiku… suara hati kita bersama! Aku cuba tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana.Perpisahan sebenar bukanlah kerana jarak tetapi oleh retaknya hati. Perpisahan ini sesungguhnya mendekatkan hati dan menyuburkan cinta kita. Kita akan semakin rapat oleh perpisahan ini… insya Allah. Yakinlah kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan lebih manis. Perpisahan ini adalah harga kepada saat yang pasti tiba itu, insya Allah.

Aku pergi menuju Allah… memperbaharui langkahku, menguatkan jiwakku untuk memburu kecintaan-Nya… dan dengan itu aku akan mencintaimu dan anak-anak dengan cinta yang lebih suci. Kau ikutlah disisiku sayang… di jalan baru yang belum tentu berapa pula likunya. “Maniskanlah malam-malammu dengan solat dan munajat. Dan sibukkanlah siangmu dengan penuh tanggung jawab dan bersemangat.
Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya dengan bersungguh-sungguh. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan berbagai alasan dan kemalasan. Aku gembira dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya sakit dan ubatnya pahit.”Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu:
“Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku sepertimana aku telah redha dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin dan berharap terhadap-Mu.“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anakmu. Agar ditangannyalah nanti zuriat-zuriatku menjadi soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanyadengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki padanya dengan direzekikan taqwa yang sejati.”

“Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah dia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu.

Sayang,
Hikmah ujian yang menimpa kita terlalu banyak. Ia ubat dan baja rumah tangga yang telah kita bina sekian lama. Cinta kita sesungguhnya tidak pernah berubah… tetapi ia perlu kemanisan dan hiasan baru supaya serinya bertambah.Cinta kita kuat getarannya, namun kurang matang. Kita terlalu menurutkan perasaan. Baik aku mahupun kau kekadang tersasar kerana “terlalu” cinta. “Terlalu” menjerumuskan kita ke jurang “melulu”. Bila melulu kita akan lepas dari kendali cinta sejati – Allah!

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta telah terputus dari cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta-cinta yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini… pertemuan pun masih perpisahan. Tapi bila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan.
Allah telah selamatkan kita dari perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini pada cinta dan perkahwinan kita. Ia menguatkan kembali ikatan perkahwinan kita.
Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata-mata. Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Makhluk yang terikat dengan kita atas nama – suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Musnah sementara dan akan musnah abadi. Tegasnya, perpisahan ini adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, bapa, anak-anak dan sanak-saudara. Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila.
Ketika itu jika hati kita tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup dan paling khuatir terhakis atau tercabutnya iman.
Sayang… bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan di celah istilah janda, duda dan yatim, sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak pasti akan diputuskan oleh mati. Justeru itu… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti.
Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Ketika itu bukan sahaja hati benci merasanya tetapi fikiranpun dikunci daripada memikirkannya…. Ya Allah, benci betul rupanya kita kepada realiti. Angkuh betul kita dengan pinjaman Allah. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita.
Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya. Didikan ini sangat mahal harganya… Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
“Sesungguhnya kita milik Allah, kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Terimalah pertemuan yang hakiki itu nanti dengan menempah tiketnya sekarang… tiket itu adalah perpisahan ini. Setiap peristiwa besar mesti ada ‘mukadimah’nya. Tanpa ‘mukadimah’ lintang pukanglah jadinya jiwa kita nanti.
Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini tetapi jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik. Berdoalah dengan rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi imbangilah kebimbangan itu dengan rasa yakin akan diperkenankan. Yang penting… Allah tambah kesabaran, keimanan dan rasa tawakal kita kepada Allah.
Di daerah ini kendali diri mesti kuat. Bila lalai sahaja dari mengingati Allah, deraan perasaan akan segera datang. Maka ketika itu terkial-kiallah kembali hati ini mencari kekuatannya… iman. Prasangka, bimbang yang bukan-bukan mesti dilontar jauh-jauh. Tawakal mesti dibina. Berserah dan pasrah sudah wajib, mainan “kalau”, “jika”, “nanti” mesti dihentikan. Alhamdulillah… Allah setakat ini telah mentakdirkan banyak perkara positif sedangkan sebelumnya aku diserang oleh prasangka yang negatif.
Yang dirindu,
Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugasmu yang sedia ada dan bertambah lagi akibat perpisahan ini. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Samada hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia.

Orang yang “duji” mudah melakukan perubahan. Tidak boleh sekali-kali digugat kekesalan dan penyesalan masa lampau. Nanti akan timbullah “kalau tak begini dulu… tak lah begini, kalau, kalau, kalau…. Ini akan menyebabkan kita putus asa dan lemah menghadapi hidup. Apa yang penting, katakan, ini realiti, ini takdir, yang sudah ditentukan sejak azali.
Sama seperti pertemuan kita, perkahwinan kita, kelahiran anak-anak kita, percintaan kita, kasih sayang kita… dan lain-lain. Cuma bezanya, yang baik-baik dan manis-manis… mudah kita terima. Yang buruk-buruk dan pahit-pahit… susah kita terima. Sedangkan ilmu di sisi Allah kita tidak tahu, mana hakikatnya yang manis, mana yang pahit, mana yang buruk, mana yang baik? Bukankah di sisi Allah ada yang lebih tersirat?
Bertemu tak jemu. Berpisah tak gelisah. Jangan bersedih… berani dan tabahlah demi cinta Allah!








***

Tersentak sebentar,
seolah-olah baru tersedar…
Sebenarnya selama ini kita (saya) terlalu yakin dengan usaha diri,
tanpa meletakkan Allah sebagai perancang yang hakiki…
.

dikala cinta yang dikejar sepenuhnya, tanpa dipengaruhi oleh cita-cita pasti tersungkur ditepian. sesungguhnya, untuk mendapatkan cinta yang hakiki pasti banyak yang perlu diharung dan ditempuhi…
namun apa yang Allah berikan pd kita adalah t...
erbaik untuk kita…
mgkin bukan yang ini… tapi pasti yang lain..

 Kita hanya mengukur yang zahir. Di hati, tidak ada siapa yang tahu. Namun, bukan mudah untuk mencintai seseorang kerana Allah. Mencintai Allah pun sukar, apatah lagi mencintai yang lain kerana Allah. Wallahua’lam