Pages

Sep 9, 2011

‎~Menangislah Kerana Takutkan ALLAH ~


Assalamu'alaikum wbt...

Buat mereka yang sering menangis kerana terluka dengan kekasihnya dan menangis kerana ditinggalkan oleh kekasihnya.

Serta buat semua ummah yang pernah terlupa...

Firman Allah swt dari surah Al Maidah ayat 44 yang kira-kira maksudnya:


“Maka janganlah Engkau takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu...”

Diceritakan, ada seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk satu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sampailah mereka ke satu kampung yang sunyi di mana penghuninya telah pun tidur. Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya.

Wanita itu menyahut, “Lihatlah samada orang-orang telah tidur semuanya?”

Lelaki itu memikirkan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan itu untuk melihat samada semua orang telah tidur atau tidak.

Setelah jelas bahawa semua orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.”

Lalu, wanita tersebut bertanya; “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?”

Dan lelaki itu pun menjawab. “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”

Wanita itu pun berkata lagi. “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak untuk ditakuti.”

Dengan segera lelaki itu meninggalkan wanita itu kerana dia takut kepada Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya.

Lalu ditanya; “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?”

Lelaki itu menjawab: “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”

Rasulullah saw bersabda:

“Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya.

“Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hambaKu dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan barangsiapa yang berasa aman dariKu di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”

Disebut dalam kitab Bidayatul Hidayah.

Pada hari kiamat, didatangkan api yang bergemuruh. Hinggakan menggetarkan hati setiap ummah. Ketika mereka mendekatinya, gemuruh tersebut semakin kuat. Hingga terdengar dari jarak perjalanan 500 tahun. Setiap orang sampai para nabi berkata; “Nafsi-nafsi”(sendiri-sendiri). Kecuali Rasulullah saw yang sering kau lupakan. Baginda berkata, “Umatku-umatku.”

Kemudian, keluarlah api bagaikan gunung. Umat Muhammad saw berusaha untuk menolaknya sambil berkata; “Demi orang-orang yang bersolat, demi orang-orang yang siddiq, demi orang-orang yang khusyu’. Dan demi orang-orang yang berpuasa. Kembalilah engkau wahai api!”

Malangnya, api itu tidak juga kembali.

Maka, berkatalah Jibril as: Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad.” Lalu datanglah ia sambil membawa segelas air sambil berkata lagi: “ Ambillah air ini. Dan percikkan ke api itu!” Rasulullah saw melakukan perkara itu. Dan seketika itu, api itu pun padam.

Lalu, Nabi Muhammad saw bertanya: “Air apakah ini?” Jibril menjawab: “Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkannya kepada api sehingga padam dengan izin Allah”

Rasulullah saw seringkali berdoa: Ya Allah, berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis.”

Barangsiapa yang ingin selamat daripada azab Allah serta mendapatkan pahala serta rahmatNya, hendaklah dia sabar atas kesulitan dunia, taat kepada Allah serta menjauhi maksiat.

Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Rasulullah saw, sesungguhnya baginda bersabda:

“Ketika masuk ahli syurga, mereka disambut oleh para malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgahsana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu, mereka menjadi kehairanan.”

Lantas Allah berfirman. “Wahai hamba-hambaKu mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan.”

Dan mereka menjawab: “Janji untuk kami telah tiba waktunya.” Kemudian, Allah telah berfirman kepada malaikat: Bukakanlah hijab dari muka mereka. Malaikat menjawab: Ya Tuhanku, bagaimana mereka dapat melihat Engkau sedangkan mereka itu derhaka? Lalu Allah menjawab; “Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin bertemu denganKu.” Lalu malaikat pun membukakan tabir sehingga mereka dapat melihat. Maka, segera mereka bersujud kepada Allah.

Tetapi Allah berfirman: “Angkatlah kepalamu. Hari ini bukanlah hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat kepada kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat untuk beribadat tetapi adalah tempat mulia untuk kamu merasakan nikmat dan kesenangan yang berkekalan.” Kemudian, mereka nampak Allah tapna kaifiyah. Allah berfirman lagi: Salam sejahtera bagi engkau hamba-hambaKu. Aku redha kepadamu. Apakah engkau redha kepadaKu?” Mereka menjawab: “Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, bahkan belum pernah terlintas dalam hati manusia.”


Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al Baiyinah ayat 8: Ertinya; “Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepadaNya.”

Dan firman Allah dalam Yasin ayat 58 yang membawa makna: “... (Dan ucapan) perkataan selamat daripada Tuhan yang pengasih.” Dan Rasulullah saw telah bersabda:

“Api neraka tidak akan menjilatorang yang pernah menangis kerana takut kerana Allah swt. Sehingga air susu kembali ke tempat asalnya.”

*Sumber: Terjemahan Mukasyafah Al Qulub tulisan Imam Al-Ghazali.

Buat mereka yang seringkali menangis demi perkara yang sia-sia; menangis kerana cinta manusia, menangis kerana membaca novel cinta, menangis menonton filem cinta yang semua. Cinta! Cinta! Cinta duniawi.

Istighfarlah! Sedarlah! Bangkitlah dari lenamu.

Buat mereka yang seringkali melupakan kekasih yang paling agung; Allah sedang menantimu di pintu taubatNya. PulanglahpadaNya... dan menangislah untukNya. Menangis untuk menangih cintaNya, menangis kerana memohon taubatNya, menangis kerana berdosa padaNya, menangis kerana takut padaNya. Kerana Allah swt telah berfirman:

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah...” (Al-Hasyr: 19)

Ingatlah, menangislah kerana Allah, kerana hanya Allah sahaja yang layak buat semua titisan air matamu...

~asyraf Al-Fandani~



Berilah KEMAAFAN walaupun sukar untuk dilafazkan ..


Susahkan nak maafkan orang? Ya. Saya akui susah. Bukan mudah hendak memaafkan orang yang telah melukakan kita. Yang mungkin memfitnah kita. Yang mungkin menyebar cerita-cerita palsu fasal kita. Yang suka membuat spekulasi dan cerita itu dan ini berkenaan kita. Yang tikam kita dari belakang. Yang khianat kita. Yang tak habis-habis cari fasal dengan kita. Yang itu, yang ini, yang begitu dan yang begini.

Memang susah hendak memaafkan. Saya tidak bohong.

Lebih-lebih lagi apabila kita sudah cuba berlapang dada, berhenti dari meneruskan sengketa, bahkan menghulurkan tangan meminta kemaafan kalau-kalau ini semua dimulakan oleh diri kita, tetapi kita tidak dilayan bahkan semakin menjadi-jadi pula kebencian mereka terhadap kita.

Memang susah. Saya tidak pernah kata senang.

Tetapi berikanlah kemaafan.

Walaupun sukar.

Jangan jual jiwa kamu.


Apakah untungnya kita melenting dengan orang yang melakukan macam-macam pada kita?

Ya, saya faham jiwa kita sakit. Hati kita cedera. Kita terasa. Lagilah kalau orang-orang itu kita sayang sebenarnya. Kita anggap macam keluarga kita. Keluarga mereka pun kita rapati dengan baik, adik beradik mereka pun kita layan dengan baik, bahkan kita pernah memberikan hadiah kepada mereka, dan bertanya pula apa salah kita yang membuatkan mereka tidak suka kepada kita.

Dengan sikap mereka yang masih membenci kita, bahkan cerita 1001 macam berkenaan kita, spekulasi macam-macam, menimbulkan persoalan-persoalan yang membawa fitnah kepada kita, memang kita akan terluka dan sangat-sangat terluka. Ya. Saya faham.

Tetapi perasankah, apabila kita mula 'membenci' mereka, rasa 'sakit hati' dengan sikap mereka, rasa hendak 'membalas' apa yang mereka lakukan, tidakkah anda melihat 'kehitaman' yang mula 'menjamah' jiwa anda?

Tidakkah anda melihat bagaimana syaitan mula 'memeluk' jiwa anda?

Tidakkah anda sedar iblis yang sedang 'mentertawa'kan anda?

Apa bezanya anda, dengan mereka yang melakukan pelbagai perkara kepada anda itu?

Bukankah di dalam jiwa anda juga ada kebencian yang menjijikkan itu?

Bukankah di dalam akal anda, tiada rasional yang menyenangkan itu?

Jangan jual jiwa kita wahai saudara-saudari yang saya cintai.

Jangan jual jiwa kita.

Biar Allah laknat mereka, biar Allah balas mereka!


Ada yang tersangat terluka, ada yang tersangat sakit hati, mungkin kerana diri sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kesilapan silam diri, mungkin kerana diri sudah berkorban pelbagai perkara agar suasana jernih kembali, tetapi terasa seperti tersangatlah bodoh dirinya dengan segala usaha itu apabila orang-orang itu buat dek sahaja.

Maka diangkat tangan dan berdoa: "Ya Allah, laknatilah mereka. Lihatlah mereka itu Ya Allah. Hitunglah mereka. Balaslah perbuatan mereka. Porak perandakanlah kehidupan mereka!" Dengan air mata kesakitan yang mengalir-alir.

Turunkan tangan kita itu. Hentikan doa itu. Jangan.

Apakah yang sedang 'memeluk' jiwa anda ketika anda mendoakan kecelakaan itu?

Adakah orang-orang itu memijak ISLAM anda? Adakah orang-orang itu menghina TUHAN anda? Tidak. Tidak dan tidak. Mereka hanya tidak menyenangi anda. Mereka hanya mengeji anda. Mereka hanya membuat spekulasi berkenaan anda. Mereka hanya memfitnah anda.

"Tapi aku dah usaha baiki diri aku. Ingat senang? Mereka nak apa? Sempurna macam malaikat?"

Ya. Saya faham susah. Saya faham. Saya faham kesakitan itu.

Tetapi kenapa kesabaran itu perlu dihentikan hari ini? Kenapa perlu melayan perasaan 'terasa bodoh' itu? Syaitan sedang membolak balikkan anda sebagaimana anak kecil membolak balikkan bola. Syaitan sedang menambah ranting-ranting kayu pada api kecil yang menanti membakar balak.

Tenang wahai saudara saudariku.

Angkat tanganmu kembali. Sebutlah: "Ya Allah, kekalkan kesabaranku. Lapangkan jiwaku. Dan AMPUNkanlah mereka semua itu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Mereka tidak mengetahui hal yang sebenar. Mereka tidak mengetahui motifku yang sebenar. Mereka tidak mengenaliku secara benar. Maka AMPUNkanlah mereka, dan AMPUNkanlah diriku yang mungkin menyebabkan semua ini berlaku. LAPANGkanlah jiwa mereka untuk menerimaku, dan teruslah LAPANGkan jiwaku untuk menerima mereka."

Seka air mata tadi.

Macamlah mereka pun tak ada salah. Salah mereka lagi besar!


Kita bengang. Usaha kita untuk berbaik tidak diterima. Alasannya adalah dosa-dosa silam yang entah dari kurun ke berapa. Alasannya adalah alasan rapuh yang sebenarnya dengan beberapa penjelasan semuanya boleh diselesaikan. Salah silap kita diungkit-ungkit. Kecil dikorek-korek, yang besar lagi digolek-golek. Seakan kita memang tidak berhak untuk berbaik-baik dengan 'golongan mereka'.

Kita bengang. Kita nak ungkit kesalahan mereka. Ya. Mereka ingat kita tidak tahu semua keaiban mereka?

"Diorang ungkit dosa-dosa aku, aku pun nak ungkit dosa-dosa mereka!"

Oh. Jangan-jangan. Berhenti sebentar. Lihatlah cermin. Lihatlah wajah anda semasa melaungkan ayat itu. Anda sukakah? Adakah itu anda yang anda suka?

Jangan rendahkan martabat anda.

Kita hamba Allah. Yang hendak mengajak manusia kepada kebaikan. Mengapa kita hendak memalukan mereka? Apakah itu membawa kepada kebaikan? Adakah dengan membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang serupa, ia membawa kepada kesatuan? Adakah selepas itu mereka akan baik dengan kita?

Tenang.

Kita selesaikan urusan kita. Mereka, kita doakan agar mereka dapat juga melaksanakannya.


Di dalam Langit Ilahi 3: Fanzuru, saya ada nyatakan berkenaan kata-kata seorang khatib di Jordan, yang menyatakan bahawa tanggungjawab kita dengan saudara kita adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Baik kepada saudara kita, membina hubungan yang diredhai Allah dengan mereka, cuba meminta maaf segala kesalahan kita, memaafkan semua kesalahan mereka, itu semua adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT sebenarnya.

Kita bukan mengharapkan kecintaan mereka. Kita bukan mengharapkan kasih sayang mereka. Kita bukan mengharapkan mereka memuji kita.

Kita hanya harapkan keredhaan Allah SWT.

Manakala mereka kepada kita, itu adalah mereka dengan Allah SWT. Mereka maki kita, spekulasi perihal kita, memburuk-burukkan kita, mengeji kita, memfitnah kita, membenci kita, tidak membalas kebaikan-kebaikan kita,tidak hendak melihat kepada perubahan-perubahan kita, itu semua adalah antara mereka dengan Allah SWT.

Mari menjadi 'ibad Ar-Rahman


'Ibad Ar-Rahman adalah hamba(yang mengabdikan diri) kepada Ar-Rahman, yakni Allah SWT. Jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka lihatlah salah satu ciri-ciri 'ibad Ar-Rahman.

"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;"
Surah Al-Furqan ayat 63.

Dan lihatlah kebenaran bicara saya di atas, dengan kalam Allah SWT ini:

"Jadilah kau orang yang pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
Surah Al-A'raff ayat 199-201.

Jadilah pemaaf. Suruhlah perkara yang baik. Berpalinglah dari orang-orang jahil. Kalau dihasut syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya sekiranya kita benar bertaqwa, hendakkan keredhaan Allah, maka apabila syaitan berusaha 'memeluk' kita, maka kita akan ingat bahawa kita hamba Allah, segera kita menjauh dari syaitan dan mengambil jalan yang benar, yakni memaafkan dan mengajak kepada kebaikan.


Kepentingan Memuhasabahkan Diri




Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).
(Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:

Daripada takut akan timbulnya muhasabah
Daripada muhasabah timbulnya muraqabah
Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala.
(Kitab: al-Burhan al-Muayyad).

Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:
Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
(Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.
(Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.
(Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:
Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa.
(surah al-Qamar: Ayat 55).


Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:
Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas.
(Kitab: Qawaid al-Tasawuf).


Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.


Berkata Saidina Umar al-Khattab:
Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang.
(Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).

‘Memberi dan Berbakti’