Pages

Jan 13, 2011

::UnTuK Mu aDaM ::

untukmu....ADAM....

Adam.....
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam.....
Maha Suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa, kaumku sendiri rupanya! Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun, jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu, tapi semestinya tidak lebih dari empat pada satu waktu. Tentu engkau lebih tahu dari diriku sendiri.

Adam.....
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merungsingkan aku. Tetapi, aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Ah..semuanya sudah aku maklumi. Namun terasa berat pula untukku nyatakan isi perkara pokoknya.....

Adam.......
aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidikku, kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku, malah untuk memerhati dan mengawasi gerak perilaku aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu, Allah azzawajalla....

Tetapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari landasan yang sepatutnya lebih lurus, jalan yang ditetapkan asalnya Allah mahukan aku tinggal tetap di dalam rumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan patutnya menjadi jejak kaki ini. Jikapun ada, patutnya engkau lebih maklum tentu kerana aku hanya terpaksa, tetapi aku tak lupa untuk menutup seluruh tubuh dan aurat perempuanku, darilah hujung rambut( kalau tak botak), hinggalah hujung kakiku yang ayu. Tetapi realitinya kini, hawa telah mengada-ngada, telah lebih dari yang sepatutnya!

Adam......
mengapa kau hanya membiarkan aku begini? Engkau mahu aku jadi isteri, aku sudah buat. Engkau mahu aku jadi ibu pada anakmu, juga aku telah laksanakan. Engkau mahu aku jadi seorang guru, juga aku anggukkan kepala. Engkau lihat, aku telah menjadi ibu dan guru pada anak-anakmu. Engkau suka kan? Tetapi, pada masa yang sama juga, adakah engkau faham, aku telah menjaja diriku ke muka dunia, menguruskan hal Negara, aku ke hutan memikul senjata padahal engkau hanya mampu duduk goyangkan kaki, Seronokkan?

Adam.......
kau selalu berkata, hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak suka makan nasihat ....Pada fikiranku ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu dahulu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Memang engkau bukanlah seorang Nabi, tetapi sedarlah bahawa namamu seorang Lelaki?! Engkau kenal siapa itu lelaki? Kau tanya dirimu, adakah kaum Adam melayani kaum Hawa sama adilnya seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam.....
Kau sebenarnya imam dan tentulah aku menjadi makmumnya. Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah seorang ketua. Tentu kau suka kan Adam-atau lebih patut ke Hawa memanggil diri Adam sebagai Boss? Kau hanya mampu duduk tersengih. Itu sahajakah yang mampu kau hadiahkan? Ketua-jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal dan aku banyak dilebihkan dengan nafsu. Akalmu sembilan (9), nafsumu satu (1)
akalku (1), nafsuku beribu! Banyakkan Adam?!

Oleh itu, pimpinlah tanganku kerana aku ini seorang yang pelupa, aku juga lalai dan alpa. Aku banyak kekurangan. Sering juga aku tergelincir ditolak sorang oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku mengenai kalimah syahdu dari Tuhan kita agar dapat menjadi terang hidupku ini. Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku, agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah!

Adam......
andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan kau saksikan hingga menjadi hancur bila kaummu sendiri yang akan mentertawakanmu, kerana pada masa itu tentu kaum Hawa berpeluang memerintah Negara! Malulah engkau Adam! Malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhan kita yang engkau agungkan....

Jika hari ini kau tidak mampu berganjak, engkau tunggu dan lihatlah...nantazir wa nara...ilal liqa`
 
* Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk mampu bertahan dari rasa sakit dan beratnya ujian melakukan ketaatan, untuk yang baik dan dapat mencapai pengampunan diakhirat. Tuhan tidak menjanjikan kita akan melewati hari tanpa rasa sakit, tawa tanpa membuat kesedihan, berselimut senang tanpa kesulitan, terpancari panas tanpa hujan atau siang tanpa malam

No comments:

Post a Comment