Biar setinggi mana ombak DUGAAN melanda Biar seganas mana badai MASALAH menghempas.... Tanamkanlah sauh KETETAPAN IMAN Agar tidak berganjak HALUAN... "Laa ilaha illallah, Muhammadar Rasulullah, fi kulli lamhatin, wa nafasin, 'adadama wasii 'ahu ilmullah".
Apr 12, 2011
DeRhAkA
Derhaka.
Biasanya perkataan derhaka ni apabila kita dengar dan terbaca, minda terus menafsirkan tentang seorang anak yang mungkin derhaka kepada kedua orang tuanya, kan? Mungkin juga seorang anak murid yang biadap terhadap gurunya, juga digelar derhaka.
Dan apabila mendengar perkataan derhaka tu, mesti persepsi kita mengenainya adalah yang buruk dan negatif sahaja. Mesti sesuatu yang tidak baik dan tidak wajar dicontohi.
Orang yang berbuat maksiat dengan sengaja juga seorang derhaka. Setuju?
Maksiat = Derhaka.
Manusia Yang Menderhaka
Seorang anak, jika melanggar perintah dan tidak mengikut kemahuan kedua orang tuanya, yang dimana perintah dan kemahuan orang tua itu adalah terbaik baginya, dan membuat kedua orang tuanya menangis lebih-lebih ibunya, sudah tentu mendapat gelaran anak derhaka kan?
Tidak mengikut suruhan kedua orang tua = Anak Derhaka
Membuat kedua ibu bapanya menangis = Anak Derhaka
Itu bagi kedudukan seorang anak. Anak yang begitu terus sahaja mendapat celaan dari masyarakat. Dan itu adalah hakikat. Anak yang derhaka, semua maklum tempatnya di neraka.
Jadi, bagaimana pula dengan seorang manusia yang melanggar dan tidak mengendahkan suruhan ALLAh. Sebaliknya, membuat pula perkara-perkara yang mendatangkan dosa dan kemurkaan ALLAh?
Sudah tentulah dirinya adalah PENDERHAKA!
Orang yang buat maksiat bermakna dia menderhaka kepada ALLAh SWT. Padahal, apa yang ALLAh perintahkan tiap satu itu mempunyai kebaikan dan hikmah tersendiri.
Orang yang sombong untuk mengamalkan Islam dan tidak mahu kelihatan terlalu Islamik kononnya, sebab kelihatan tidak up-to-date, yang mementingkan pandangan manusia lain berbanding pandangan rahmat dari ALLAh SWT adalah penderhaka! Tabarakallah~
Anda setuju atau tidak? Terpulang. Tepuk dada, tanya iman.
Hakikatnya, apabila disebut menderhaka, ramai yang tidak suka atau tidak senang hati mendengarnya. Tapi, cuba jika disebut MAKSIAT, pasti impaknya pada perasaan tidak begitu mendalam sebagaimana perkataan DERHAKA tadi.
Siapa Manusia Untuk Menderhaka
Dunia ini dan seluruh isinya, amat mudah bagi ALLAh SWT. Jika manusia menyimpang dari jalan Islam, maka ALLAh tidak mendapat apa-apa kerugian pun. Sebaliknya, manusia itu yang akan menjadi orang yang paling rugi dunia dan akhirat, dengan izin ALLAh.
Maka, apakah kedudukan manusia yang membolehkannya menderhaka kepada ALLAh SWT?
Kadang-kadang hidup ini betah menuduh orang lain begitu begini, walhal dalam tidak sedar, diri kita sebenarnya yang lebih teruk berbanding orang yang diperkatakan dan dituduh tadi.
Kenapa ya manusia sering menjurus ke arah perkara yang tidak disukai ALLAh?
Jawapannya, ada dengan manusia itu sendiri!
Ada juga yang menyalahkan takdir atas kesilapan yang pernah dilakukannya. MashaAllah! Sebenarnya orang begini hendak menyalahkan siapa sebenarnya? Menyalahkan takdir itu samalah dengan menyalahkan ALLAh SWT.
Anda nampak sesuatu? Senyum. Saya nampak keegoan manusia!
ALLAh Masih Memberi Peluang
Siapa yang tidak pernah terbuat maksiat? Saya pasti dan yakin, sudah pasti semuanya pernah. Tapi bukan pernah atau tidak pernah yang mahu dilihat disitu. Persoalannya, sekuat mana kita melawan diri sendiri untuk tidak membuat maksiat?
ALLAh SWT itu, kalau Dia sememangnya ingin mematikan manusia sedang ketika melakukan maksiat, sudah pasti tidak mustahil bagi-Nya. Sebab, ALLAh itu Maha Kuasa dan Maha Gagah Perkasa.
Manusia tahu dan mengakui, jika membuat maksiat, pasti ada balasan yang diturunkan oleh ALLAh SWT. Manusia beriman bahawa setiap kejahatan pasti akan diberi balasan yang setimpal.
Tapi, pernah tidak manusia terfikir, kenapa sehingga selepas dia melakukan maksiat seperti tidak kelihatan tanda-tanda ALLAh hendak menurunkan bala? Dan selepas itu, terdetik rasa kesal dan takut sedikit dalam hatinya?
Sebab, ALLAh masih sayang wahai sahabat. ALLAh masih sayang!
ALLAh masih memberikan peluang kepada manusia untuk menyedari kesilapan diri dan kembali kepada-Nya. Kembali berkhalwat dengan-Nya. Kembali memohon keampunan dari-Nya. Kembali untuk cuba berusaha menjadi calon-calon syurga ALLAh.
Dan ALLAh SWT sentiasa merindukan hamba-Nya yang selalu datang kepada-Nya untuk memohon keampuan dan berserah diri kepada-Nya. ALLAh SWT rindu..
Sahabat, tidakkah anda teringin untuk menjadi seseorang yang dirindui oleh ALLAh SWT? Subhanallah. MashaAllah~!
Mati Yang Husnul Khatimah
Sesuatu yang saya pasti, hatta orang yang tidak melakukan suruhan ALLAh SWT pun, akan menginginkan akhir hayat yang baik. Maksudnya mati dalam keadaan yang baik dan tidak mengaibkan.
Anda mahu? Saya pun mahu. Senyum.
Pasti saya dan sahabat sekalian mendambakan akhir hayat yang baik dan dipermudahkan serta mendapat pertolongan ALLAh SWT semasa berhadapan dengan maut nanti. Kan?
Maka, tanya diri.. Apakah usaha yang kita sudah buat untuk meraih pertolongan-Nya?
Mengikut logik akal anda, selamatkah orang yang menderhaka kepada ALLAh SWT di akhirat kelak? Ya, ALLAh SWT memang Maha Pengampun, itu sifat ALLAh.
Tapi, saya pasti, jauh disudut hati anda berkata, ‘Tidak. Tidak selamat’.
Kita mengakui hal itu, kan?
MashaAllah! Pssst! Wahai sahabat, kita ini hamba. Dan kita tiada punya apa-apa kekuatan melainkan kudrat yang ALLAh SWT telah berikan.
Untuk menginginkan mati yang husnul khatimah, itu adalah atas izin dan bantuan dari ALLAh SWT. Maka, didiklah diri untuk menjadi seseorang yang layak diberikan pertolongan oleh-Nya semasa akhir hayat nanti. Layakkah kita? Ce tanya diri sendiri.
Sahabat, saya juga masih mendidik diri. Maka, sudikah anda bersama-sama mendidik diri dengan saya? Kita semua saling lengkap-melengkapi sebenarnya. Kita tidak akan kuat jika seorang diri, tapi kita akan kuat dan lebih berdaya jika kita dalam kumpulan yang ramai.
Senyum.
Semoga ALLAh merahmati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment