Pages

Apr 11, 2011

aPaKAH aKU sEDAnG diuji....??


~ Apakah Aku sedang DIUJI ??? ~

Ya Tuhan, apakah aku sedang Kau uji?
Suatu hakikat yang mesti jangan terlupus di minda walau sesaat cuma, ujian dari ALLAh SWT akan tetap ada sehinggalah manusia masuk ke dalam liang lahad sekalipun.

Jika anda merasakan anda sedang diuji, maka ingat jugalah bahawasanya manusia lain yang berjuta-juta diluar sana juga turut diuji oleh Tuhan yang sama dengan cara ujian yang berbeza.
Dan satu perkara yang saya yakin dan berpegang dengannya, ujian dari ALLAh itu adalah tanda sayang dan tanda untuk menjadikan manusia menjadi manusia yang lebih baik dan tegar menghadapi dugaan demi dugaan yang mendatang.
InshaALLAh, saya yakin. Dugaan itu bukan tanda bencinya Tuhanmu!

Rintihan Jiwa Yang Diuji
Ada manusia apabila berhadapan dengan dugaan yang agak besar, maka dirinya mula merasakan dunia ini kelam. Seakan-akan tiada baginya harapan untuk membentuk masa depannya lagi. Merasakan dirinya dikelilingi oleh kesepian dan kegelapan belaka meskipun dirinya berada ditengah keramaian.
Dan ada pula yang kehilangan momentum dalam beribadah.

Kalau dulu, ketika ALLAh masih meminjamkan nikmat, maka dirinya rajin beribadah. Tetapi, bila ALLAh uji dengan sedikit dugaan, maka ibadahnya hilang entah ke mana. Mula membelakangkan Tuhan lantaran merasa ALLAh tidak sayang padanya dek kerana ujian yang didatangkan.


Hidup ini, sebolehnya kita tidak mahu menjadi futur. Na’udzubillah.

Sekiranya diri sendiri sudah malas sebaik sahaja menerima ujian yang saya percaya, ujian itu tidak sebesar ujian para Nabi pun anda sudah kehilangan rasa kemanisan dalam beribadah, maka adalah lebih baik anda memeriksa hati dan jiwa anda.

Untuk apa anda hidup? Untuk siapa anda hidup?
Hidup untuk dunia atau hidup untuk akhirat
Saya percaya, ujian boleh datang dari pelbagai arah. Hatta dalam sekecil-kecil perkara pun. Ujian ALLAh penuh variasi. Tidak hanya pada satu arah. Dalam persahabatan juga sering diuji, dalam penggunaan lisan juga sering diuji, dalam memperbaiki akhlak juga sering diuji.


Mungkin anda akan berkata, saya hanya tahu menulis di dalam rumah maya ini. Tapi bukannya saya tahu perasaan anda yang menderita dek ujian. Itu hak anda untuk berkata seperti itu, tapi jangan lupa duhai sahabat, semua manusia mempunyai ujian yang berbeza-beza.

Tak mengapa. Saya tersenyum di sini.
Cari Kekuatan Pada Diri Sendiri

Cuba lihat kebesaran dan kasih-sayang ALLAh yang ada pada diri sendiri. Subhanallah~!


Longlai dan terjatuh kerana masalah? Anda pernah? Maka saya juga begitu. Tapi pengalaman lalu mengajar diri sendiri untuk tidak kalah pada masalah dunia yang tidak kekal. Kadang-kadang, manusia tahu dan yakin bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Tetapi kebanyakan manusia sudah lemah sebelum berjaya menyelesaikan masalah.
Kasihan pada jasad, kan.

Sahabat, pernah tidak tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapa hati dan jiwa sangat rapuh apabila menerima ujian dari ALLAh SWT?

Saya pernah bertanya soalan itu kepada seorang yang saya hormati, moga hidupnya dirahmati, inshaALLAh. Dan jawapan yang beliau berikan kepada saya masa tu sangat mengetuk jiwa. Dihadapannya juga saya menitiskan airmata. Airmata yang sangat ego untuk jatuh dihadapan manusia akhirnya menjadi murah pada ketika itu.

Diakhir pertemuan sebelum berpisah, beliau berpesan..

“Jangan sesekali beri peluang kepada syaitan untuk membiarkan kamu merasa besar dihadapan ALLAh Rabbul ‘Alamin. Kalau ALLAh nak binasakan kita, tak payah tunggu masa kiamat.. Saat ni pun ALLAh boleh buat..”

MashaAllah. Astaghfirullah~

Merasa sendiri tika menerima ujian dari ALLAh? Sepatutnya anda memulakan langkah untuk mendekatkan diri kepada ALLAh SWT. Bukan menyendiri dan menghindar dari manusia lain.
..ALLAh SWT itu sesuai dengan sangkaan hamba-Nya.. – Hadis Qudsi

Anda Pemberi Motivasi Kepada Diri Sendiri

Selain mengubati jiwa dengan mentadabburi Al-Quran dan Sunnah. Berilah motivasi kepada diri sendiri. Hidup ini, tidak boleh selalu menunggu orang lain untuk memberikan motivasi kepada diri anda...

Motivasi yang sangat hebat daripada seorang pakar motivasi sekalipun, jika diri anda sendiri yang tidak mahu memotivasi diri anda, maka kata-kata semangat dan motivasi yang diberikan oleh pakar tidak akan berkesan kepada anda. Anda akan biarkan ia seperti angin yang berlalu.


Salah satu kunci motivasi yang besar : KEYAKINAN KEPADA ALLAh!

Jika keyakinan itu lemah, maka lemahlah anda berhadapan dengan ujian. Believe me.

Kata orang, hidup di dunia ini hanya sekali, dan itu adalah fakta. Maka, sebolehnya, buatlah yang terbaik dengan kemampuan diri sendiri. Jika merasakan dunia ini kelam, maka yakinkanlah diri sendiri, bahawa syurga disana penuh berseri dengan keindahan yang tidak akan terbayang dek akal.

Kita sama-sama hidup di dunia. Kita sama-sama seorang manusia. Kita sama-sama hamba ALLAh. Kita sama-sama ummat Muhammad Rasulullah. Kita sama-sama menuju destinasi yang sama. Maka, mengapa kita tidak dapat memperolehi kekuatan yang sama seperti kekuatan orang-orang hebat dipandangan ALLAh?

Saya ini, cuma hamba ALLAh yang biasa. Benar-benar biasa. Tapi, seharusnya, kita punya cita-cita dan impian yang luar biasa!


Apa dambaan anda? Syurga? Maka, go for it, sohabat!


Anda sedih? Janganlah sedih. Ada ALLAh sebagai penghibur. InshaAllah.
Cari kekuatan dan akhlak yang baik dalam jiwa kamu yang paling dalam. Ia ada disitu.
Cari diri kamu dalam sujud terakhir yang lama. Diri kamu ada disitu. InshaALLAh.
Semoga ALLAh merahmati.. ( PANDUAN UTK DIRI KU .... )

No comments:

Post a Comment