Pernahkah
kita jumpa dalam mana-mana kejohanan sukan, yang menjadi pemenang
adalah seorang peserta yang langsung tidak pernah berlatih sukan?
Atau,
wujudkah dalam dunia ini, seorang pelajar yang lulus dengan cemerlang
di dalam peperiksaan, namun dia tidak pernah melakukan latihan yang
diberikan gurunya? Nak sedap lagi, dia bahkan langsung tak pernah
belajar, wujudkah?
Maka,
begitulah dengan kejayaan menghadapi madrasah Ramadhan. Bulan yang
baginda nabi janjikan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada neraka
ini, kita mungkin tak akan berjaya di dalamnya tanpa persediaan rapi
sejak awal.
Sebab
itu bila masuk bulan Rejab, nabi dah ajarkan kepada kita dengan sebuah
doa, iaitu doa supaya Allah memberikan kita keberkatan di dalam bulan
Rejab dan Sya’aban, seterusnya menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan
al-Mubaarak.
Perhatikan, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
”Siapa
yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya
akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.”(HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)
Cuba fikir, tanpa latihan, adakah tingkat penuh keimanan dan keihklasan yang baginda sebutkan ini kita akan peroleh?
Sedangkan syarat diampunkan segala dosa adalah dengan kedua-duanya.
Ujian percubaan
Masa
sekolah menengah dulu, kita akan hadapi beberapa ujian percubaan
sebelum melangkah ke dewan peperiksaan yang sebenar. Kita ada ujian
percubaan PMR, kita juga hadapi ujian percubaan SPM.
Alangkah,
mahu dapatkan sijil dunia sahaja kita sudah menjalani latihan yang
padat, inikan pula Ramadhan, bulan yang di penghujungnya dijanjikan
pembebasan dari neraka!
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa
yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan
mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.” (HR Bukhari)
Maka,
baki tujuh hari ini janganlah kita bazirkan. Kita tak mahu menyesal
kemudian hari. Kalau mahu Ramadhan nanti dapat khatamkan Al-Qur’an, maka
sejak sekarang sudah perlu biasakan baca empat, lima muka surat setiap
kali lepas solat. Sudah boleh ajar tangan supaya bersedekah, patut kunci
mulut dari bercakap yang tak penting, dan tiraikan mata dari pandangan
yang dilarang.
Dah patut mula semua ni.
Kita pasti menyesal
Ulama
kita pernah sebut, penyesalan tidak akan datang, melainkan di akhir
perkara. Para pesalah, mereka sekarang pasti menyesal bila sudah
ditempatkan di dalam penjara.
Maka
begitu juga dengan kita. Bulan Ramadhan ini ada infiniti ganjaran
kebaikan yang Allah akan bagi. Namun, tak semua orang akan dapat. Mereka
hanyalah orang yang terpilih, dan yang bersedia. Jika difikirkan, kita
sendiri pun tak mahu bagi sesuatu kepada orang yang tidak bersedia, kan?
Berbincang
tentang akhir kehidupan manusia, tak akan ada manusia yang tak menyesal
di akhirat, melainkan para Nabi. Selain mereka, semua manusia menyesal.
Ahli syurga pun menyesal kerana tak banyakkan amal, kalau ahli neraka,
derita mereka tak payah cakap.
Kita pulak macam mana? Jangan tanyalah!
Caranya,
kita gunakan makhluk Allah yang bernama masa dengan sebaiknya.
Sesungguhnya, Allah telah bersumpah dengan masa. Bahkan, Dia telah
memperingatkan kita dengan peringatan yang sangat bermakna.
Firman Allah dalam surah At-Takaathur:
“Kamu
telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan
berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda,
anak-pinak pangkat dan pengaruh),
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!” (surah At-Takhaatur, ayat 1-3)
No comments:
Post a Comment