Bersyukurlah kita sentiasa
Assalamualaikum.......
BERSYUKUR MELAHIRKAN KETENANGAN JIWA
Dalam diri manusia terdapat sifat tidak merasa cukup atau berpuashati dengan apa yang dimiliki dan dialami. Semakin baik dan banyak yang diterima, lebih lagi yang diingini dan diusahakan untuk mendapatkannya.
Sikap tersebut tidak menyalahi amalan dalam Islam. Setiap individu perlu sentiasa menanam sikap ingin mendapat lebih banyak dan lebih baik. Namun sikap itu perlulah dizahirkan dalam bentuk mencari keredaan Allah. Bersyukur dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam mengejar apa yang dikehendaki merupakan jalan sebaik-baiknya.
Sesungguhnya setiap kejadian alam ini disediakan untuk kebaikan manusia. Justeru perlulah setiap individu bersyukur dalam apa jua keadaan yang dilalui. Pandanglah pada setiap kejadian yang Allah perjelaskan agar manusia tahu bersyukur dan berfikir.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi: dan pada pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang berlayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermunafaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan, kebijaksaan dan keluasaan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikirannya.” – (Surah al-Baqarah, ayat 164).
Setelah turunnya ayat tersebut, Rasulullah mengerjakan sembahyang yang sepanjangnya Baginda menangis sehingga bercucuran air mata. Melihatkan keadaan Rasulullah itu, Aisyah berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah yang menyebabkan engkau menangis? Padahal Allah telah mengampunkan apa-apa yang terdahulu daripada dosa engkau dan juga yang terkemudian.”
Lalu Rasulullah menjawab: “Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapakah aku tidak berbuat demikian, sedangkan Allah telah menurunkan (ayat) kepadaku (ayat 164 dalam surah al-Baqarah).”
Perbuatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah itu menjelaskan betapa kita perlu bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah. Rasa bersyukur itu bukan hanya dilakukan apabila mendapat kebaikan semata-mata. Sebaliknya, rasa bersyukur perlu dizahirkan pada setiap waktu dan tidak kira di mana berada.
Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah jadi manusia. Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tidaklah kamu akan dapat menghitungnya satu per satu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.” – (Surah an-Nahl, ayat 18)
Sebagai muslim, nikmat yang paling besar ialah nikmat iman. Kehidupan ini tidak ada ertinya jika telah hilang iman dari dalam diri. Hanya mereka yang beriman dijamin kehidupan yang baik di akhirat nanti. Justeru itu, bersyukurlah kerana kita masih dalam lindungan rahmat Allah yang masih dikekalkan keimanan di dalam diri.
Seterusnya nikmat lain yang patut disyukuri ialah kesempatan hidup sehingga sekarang. Nikmat hidup bukan bertujuan untuk mencari kesenagan hidup semata-mata, tetapi ingin mengabdikan diri kepada Allah.
Manusia dicipta sebagai hamba yang perlu taat patuh kepada perintah Allah, yakni melakukan ibadat. Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” – (Surah al-Zuriat, ayat 56).
Maka, rugilah sesiapa yang di dalam masa hidupnya lebih banyak menghabiskan masa untuk melakukan sesuatu yang bukan dalam senarai ibadat. Ibadat yang dimaksudkan bukan semata-mata ibadat khusus seperti sembahyang, haji, puasa dan zakat. Sebaliknya ibadat itu merangkumi segala perbuatan yang menepati maksud takwa yakni melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.
Ini bermakna, melakukan tugas mencari rezeki juga merupakan sebahagian daripada ibadat. Begitu juga dalam soal mengurus rumah tangga, hubungan sesama manusia dan sebagainya merupakan ibadat jika sekiranya dilakukan dengan niat mencari keredaan Allah.
Sesungguhnya dalam semua keadaan hidup yang dilalui manusia perlu sentiasa bersyukur, biarpun apa yang dialami itu tidak daripada dikehendaki. Terimalah segala apa kurniaan Allah dengan perasaan bersyukur dan perasaan berserah kepada-Nya.
Sesiapa yang mengucapkan perasaan syukur dalam keadaan dia sebenarnya mengalami kedukaan, dialah akan dilimpahi berbagai-bagai kebaikan oleh Allah. Janji ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 156 hingga ayat 157 bermaksud: “Orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang yang dilimpahi berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Sesungguhnya ramai orang yang bersikap sebaliknya. Setiap apa yang perkara buruk dihadapi dianggap sebagai mapetaka yang mengundang kedukaan di dalam hati. Malah disebabkan rasa kecewa yang amat sangat, ada yang mempersoalkan mengapakah Allah menjadikan dirinya sedemikian.
Sesiapa yang mengalami nasib buruk sebenarnya masih mempunyai peluang untuk mengecapi apa yang diharapkan pada masa akan datang. Sikap yang sepatutnya ditunjukkan ialah bersyukur kepada Allah masih memberi peluang untuk memperbaiki keadaan kerana dirinya masih hidup.
Peluang dapat terus hidup merupakan sebahagian perkara yang perlu disyukuri. Sesungguhnya jika peluang tersebut ditarik balik, maka saat kematian tidak akan dapat ditangguhkan untuk melakukan kebaikan.
Firman Allah bermaksud: “Sehingga ketika maut telah datang kepada seseorang di antara mereka, maka diapun berkata: “Wahai Tuhanku (hidup semula)! Supaya dengan itu aku akan dapat mengerjakan perbuatan baik yang aku tinggalkan. Tidak. Sesungguhnya perkataan itu hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada Barzah yang dindingnya membatasi sampai mereka dibangkitkan.” – (Surah al-Mukminun, ayat 99 hingga 100).
Maka ketika nadi masih berdenyut dan fikiran masih waras, sentiasalah mengingati dan mengsyukuri atas nikmat kehidupan yang disediakan oleh Allah. Peringatan ini difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.”
Di antara tanda bersyukur ialah sentiasa bersikap sabar dan teguh iman menerima ujian Allah. Firman Allah bermaksud: “Dan ketabahan orang-orang yang sabar pada masa kesempitan, dan pada masa kesakitan, dan juga pada masa bertempur dalam Perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya) mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 177).
Manakala kesyukuran yang sering dilupai oleh mereka yang dilimpahi rahmat kekayaan ialah tidak menggunakan kekayaan itu untuk jalan kebajikan. Sikap tersebut didorong oleh perasaan tamak dan mengaku dirinya yang menentukan apa yang diperolehinya.
Justeru itu ramai orang yang memperolehi harta kakayaan, pangkat dan kedudukan tinggi masih tidak puas apa yang dimiliki. Mereka sentiasa resah dan memikirkan apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan untuk mendapat lebih banyak lagi kekayaan, meningkatkan pangkat dan meletakkan diri lebih tinggi.
Maka, dalam sifat tamak dan bakhil itu timbulah perasaan mencintai dunia melebih daripada cinta kepada Allah dan Rasulullah-Nya. Ketika itu suruhan agama dibantah dan dianggap sebagai cara yang jahat untuk mengambil hartanya.
Fikiran inilah membelengu mereka yang tidak mahu mengeluarkan zakat dan sedekah yang sebenarnya telah dipengaruhi oleh syaitan. Syaitan sentiasa mendampingi si bakhil untuk melahirkan rasa takut untuk berbelanja ke jalan Allah. Firman Allah bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Golongan yang tidak bersyukur itu sebenarnya menolak jaminan Allah seperti yang difirmankan dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Nasib inilah yang menimpa Qarun yang disebut sebagai orang terkaya di dunia yang mana kekayaanya tidak mungkin dipintas oleh sesiapapun. Sebenarnya Qarun disebut sebagai orang yang asalnya beriman kepada Allah dan menjadi pengikut setia Musa ketika dia belum menjadi kaya raya.
Namun setelah dia memperolehi kekayaan, dia tidak bersyukur, malah angkuh menolak permintaan Musa agar mengeluarkan zakat dan sedekah kepada kaumnya daripada hasil kekayaan itu. Qarun menjadi durhaka kepada Allah kerana mengaku kekayaan yang dimiliki merupakan hasil usahanya sendiri.
Cerita keangkuhan Qurun dan nasib yang menimpanya disebabkan tidak bersyukur disebut dalam beberapa ayat surah al-Qashash. Sebahagian daripada ayat 76 surah tersebut bermaksud: “Sesungguhnya Qarun itu termasuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami berikan kepadanya kekayaan, yang kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang yang kuat.”
Manakala sebahagian maksud ayat 78 bermaksud: “Qarun menjawab: Kekayaan yang diberikan kepadaku hanyalah kerana perngetahuaku.”
Sebenarnya sikap tamak kepada kakayaan terbawa-bawa sehinggalah ketika hampir maut. Diceritakan bahawa syaitan akan datang kepada orang yang sedang hampir mati dan menawarkan pelbagai kelebihan dan kekayaan sekiranya mengakui bahawa syaitanlah yang paling berkuasa.
Namun bagi sesiapa yang sepanjangnya hidupnya sentiasa mengabdikan diri kepada Allah, nescaya tidak akan lekang daripada lidahnya menyebut kalimah mengagungkan kebesaran Allah dan kerasulan Rasulullah. Sebab itulah amat penting sentiasa menyebut dan mengingati nama Allah sebilang masa agar kekal keimanan tidak mudah diperdaya oleh syaitan ketika saat genting menempuh maut.
Manakala mereka yang sentiasa lupa pada janji-janji Allah tentang hari akhirat, pasti akan mudah terpedaya dengan persona kehidupan dunia. Maka, golongan ini dijanjikan oleh Allah akan dimasukkan ke dalam neraka.
Firman Allah dalam surah as-Sajadah ayat 3 bermaksud: “Tetapi telah tetap hukuman seksa daripada-Ku: Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhkan neraka jahanan dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh).”
No comments:
Post a Comment