Pages

Jul 18, 2011

Hanya Tuhan Yang Tahu ..




Apabila bicara tentang cinta, semua orang kata TAHU. Walhal masih ramai yang cetek tentang CINTA. Diri sendiri berada diawangan dan delima antara tuntutan perasaan, keluarga atau nafsu.

Apakah yang maksudkan dengan CINTA ?

Cinta ialah naluri atau perasaan dalaman keatas sesuatu yang nikmat baik bersifat jasmani atau rohaniah. Perasaan yang berlainan atau keinginan yang sukar digambarkan apabila jalinan hubungan antara lelaki dan wanita atau sebaliknya. Perasaan yang sukar digambarkan itulah yang dikatakan CINTA.

Cinta, asmara, kasih, sayang, suka, minat yang sinonim dengan perasaan diluahkan atau disampaikan dengan kaedah yang berbeza. Oleh kerana konteks  cinta itu dari sanubari, maka itulah manusia cuba sampaikan maksudnya dan luahan perasaan itu dengan bentuk ungkapan, sebutan, tulisan puisi, sajak dan sebagainya yang bertujuan untuk menyatakan perasaan cinta mereka.

Kata pujangga Shakespeare :


"Cinta dapat menjelmakan haiwan menjadi manusia dan manusia menjadi haiwan".

Demikianlah besar dan hebatnya pengaruh cinta dalam emosi manusia. Cinta adalah sesuatu yang sukar untuk dikawal peranannya. Maka itulah wujud ungkapan "Cinta Itu Buta". Ia adalah suatu perasaan yang paling kuat dari semua perasaan hingga manusia boleh kehilangan kemampuan atau pertimbangan yang wajar. Lebih banyak dikuasai oleh gelora perasaan sehingga fikiran tidak keruan dan tindak tanduk celaru.

Cinta Buta juga disamakan dengan kesetiaan, kerana apabila sudah cinta terhadap seseorang, maka fikiran juga turut setuju dalam segala hal. Soal cacat, hodoh atau sebaliknya tiada dalam kamus perasaan mereka. Oleh kerana cinta itu datang dari nafsu berahinya yang hidup bergelora dari jiwanya, maka cinta itu TIDAK SAMA dengan cinta terhadap Allah.

Oleh itu, cinta boleh dipantau hanya dengan kawalan emosi dan nafsu. Yang boleh merubahkannya hanyalah diri sendiri.


Jenis-Jenis Cinta

1) Cinta Sayang
Bermula dengan jalinan persahabatan yang cenderung kepada ambil berat dan timbul perasaan sayang dalam hubungan yang akrab. Bicara dengan orang yang dia merasa senang atau sukai, atau bertukar-tukar kisah peribadi untuk dikongsi bersama. Hubungan semacam ini yang mengandungi unsur akrab, nafsu berahi dan jalinan yang kuat. Cinta ini ramai tidak sedari, kerana ia lahir secara tiba-tiba.

2) Cinta Buta
Jenis cinta ini dikuasai oleh nafsu berahi. Tiada ikatan keakraban atau jalinan yang akrab. Banyak dipengaruhi oleh dorongan nafsu atau keinginan untuk memiliki secara dasar sahaja. Di lubuk hati masih lagi dalam curiga antara hendak atau tidak. Cinta ini tidak kekal lama kerana hanya pada zahir sahaja dia suka, tetapi batinnya menolak untuk terus bersama.

3) Cinta Simpati
Cinta ini lahir dari perasaan simpati semata-mata tanpa mendalami perasaan pasangan yang dicintainya. Ada juga disebabkan desakan atau tetiba terasa simpati. Cinta ini amat sukar untuk diketahui sejauh mana kekalnya pasangan bercinta. Apa pun elakkan dari cinta ini kerana ianya hanya bersifat sementara.

4) Cinta Paras Rupa
Cinta jenis ini hanya meminati seseorang hanya kerana paras rupa sahaja. Cinta ini hanya pada dasar sahaja tanpa menyelami hati budi secara dalaman. Lahir dan batin tidak akan sama, mungkin cantik diluar tetapi busuk didalam. Maka itu jangan mudah buat andaian secara luaran. Perlu selami hati budi dan nilai sejauh mana keikhlasan cintanya.

5) Cinta Romantik
Jalinan cinta ini adalah gabungan dari sifat akrab dan kasih sayang. Menyintai pasangan sepenuh hati dan tidak didorong oleh nafsu. Cinta ini cenderung dalam penyampaian perbuatan atau perhatian ambil berat. Cinta ini unik kerana gabungan dari perasaan dan perbuatan sebagai tempat untuk luahkan cintanya.

6) Cinta Nafsu
Cinta ini hanya dikawal atau didorong oleh perasaan nafsu berahi. Meminati pasangan lebih kepada tubuh badan berbanding untuk  menikmati cinta perasaannya yang sebenar. Cinta ini tidak lama, selepas dapat apa yang dihajati, pasangan ditinggalkan. Cinta jenis ini amat mudah untuk dikenali, yang pada kebiasaannya lebih ditunjukkan dengan perbuatan sumbang tanpa kerelaan atau kebenaran pasangannya terlebih dahulu.

7) Cinta materialistik
Cinta ini juga dikenali sebagai cinta harta benda. Cinta lebih kepada duit poket atau kedudukan atau taraf individu itu. Tidak ikhlas dan tiada jalinan persahabatan yang akrab. Cinta ini penuh kepuraan atau lakonan hanya sekadar dapat memenuhi keinginan untuk mendapat sesuatu yang dia tidak mampu.

8) Cinta Biasan
Cinta ini dikenali juga sebagai cinta paksaan. Terpaksa minati pasangannya tanpa jalinan keakraban atau perasaan ikhlas untuk menerima pasangan sepenuh hati. Atas desakan atau paksaan, maka mereka teruskan hidup bersama, akibatnya pasangan merana jiwa dan batin. Ada pasangan yang berjaya ubah perasaannya dan ada juga pasangan yang sebaliknya.

9) Cinta Kecundang
Cinta ini ada unsur jalinan tetapi tanpa keakraban dan nafsu berahi, maka terjadilah cinta hampa atau cinta kecundang. Biasanya terjadi pada pasangan yang tidak mahu memahami atau menerima pasangan mereka secara rasional.  Lebih banyak dikuasai oleh sifat tidak puas hati terhadap pasangan yang dikenali.

10) Cinta Sempurna
Cinta ini amat sukar dicari. Terlalu sempurna dalam penerimaan pasangannya. Gabungan perasaan dan fikiran yang rasional, memberikan kesan cinta yang menarik. Insan ini cenderung dalam membelai, menyayangi, menghargai dan menghormati pasangannya. Cinta ini disampaikan dengan perbuatan dan perasaan yang ikhlas.


Cinta atau nafsu itu merupakan suatu keinginan yang bermula dari jiwa, mempunyai tujuan dan tugas yang berbeza. Cinta dalam bentuk kasih sayang antara seorang lelaki dan wanita itu memerlukan bukti. Samada melalui kata-kata mahupun perbuatan. Banyak kita temui orang yang mengaku bahawa dia mencintai seseorang, namun hanya sekadar ungkapan sahaja, tidak terbukti secara nyata dalam bentuk cinta yang sempurna.

Apabila kita sudah jatuh cinta, elakkan diri dikuasai oleh emosi cinta. Cinta boleh menguasai manusia dan setiap perbuatan boleh menjadi luar biasa atau diluar batasan peribadi. Kita harus mengawal diri dengan tindakan yang lebih berhati-hati, tidak kira situasi samada dalam bentuk ungkapan atau perbuatan.


Di Email Oleh Pn Ann



Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?
Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.
Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.
Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.
Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.
Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami
Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.
Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.
Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tau.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.
Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.
Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.
Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.
Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di amana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari
kepala.
Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.
Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah berlaku semasa baginda satu selimut dengan isteri-isteri yang lain.


Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.
Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.
Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.
Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.
Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.
Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.
Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”
Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terimakasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.
Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”
Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”
Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.


Tapi Disebalik hati ini ...


Engkau memang ajaib
Dan aku bersyukur Tuhan memperkenalkanku pada keajaiban itu
Seperti aku juga bersyukur cinta ini telah jatuh kepadamu
yang dalam kesederhanaan ekspresimu, engkau menyimpan kasih sayang yang tulus
yang dalam kesederhanaan katamu, engkau menyimpan cinta dan kesabaran

Apa lagi yang belum kudapatkan?
Aku tak perlu apa yang tak kau miliki
Aku hanya perlu memahamimu, menerima kekuranganmu, mensyukuri semua kebaikan yg ada padamu,
dan mencintaimu dengan tulus, setulus engkau mencintaiku
Hingga cinta ini tak hanya hadir setelah hujan, lalu pergi bersama pelangi
Semoga cinta ini akan selalu hadir dalam setiap jarak dan butiran pasir waktu
Bertualang lewat gelombang suara dan tetap sampai meski sinyal-sinyal emosi sulit diprediksi
Cinta ini akan selalu membawaku padamu, dan engkau padaku
Itu cukup...walauapa pun,semua itu rahsia Allah .Segalanya diserah kan kepada ALLAH untuk menentukan apa yang terjadi pada masa depan ku ..Segala ketentuan nya ,akan ku terima dengan rehda dan yang pasti ,itu adalah yang terbaik untuk ku ..Aku Adalah Rahsia-MU..





HATIKU REMUK REDAM



HATIKU REMUK REDAM

Hari ini hatiku remuk redam…
pedih!
sakit!
apabila saban hari melihat teman-temanku sendiri bergelumang dalam najis KEMAKSIATAN!
hatiku makin dihempap kesakitan yang tidak dapat digambarkan..
apabila teman-temanku sendiri berBANGGA dengan KEMAKSIATAN yang mereka lakukan!
wahai teman-temanku yang ku sayangi hanya kerana ALLAH..
berkali-kali ku katakan padamu bahawa COUPLE itu sama sekali HARAM disisi agama..
“Janganlah kamu menghampiri zina…”
mengapakah kalian masih TEGAR mencampakkan diri kalian dalam jurang api neraka yang membahang tak terperi sakitnya?
ketahuilah teman-temanku,
di saat melihat kalian berdua-duaan bersama pasangan kalian,
hati ini bagai di cucuk sembilu yang memilukan..
di saat melihat gambar-gambar kalian yang tidak segan silu berdua-duaan,
hati ini meraung kesakitan..
jangan pernah salahkan FITRAH yang ALLAH kurniakan kepada kita..
FITRAH itu tidak salah..
yang salah adalah kita..
Lupakah kalian kepada kata-kata Pemilik Cinta :
‘ maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Maka beruntunglah orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya..’ [AS-syamS]
dengarlah wahai kalian!
ku sudah tidak tahan menanggung dosa ini..!
sedarlah kalian!!!
Astaghfirullah…
maafkanlah aku seandainya kata-kataku ini melukai kalbumu..
tetapi..
ingatlah..
sesungguhnya ALLAH lebih TERLUKA dengan apa yang telah kalian lakukan!
Oleh sebab itu berikanlah PERINGATAN, kerana peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, dan orang yang CELAKA akan menjauhinya yaitu orang yang akan memasuki api yang besar…’
[As A'la 9-12]

Lelaki Yang Soleh Takkan Mengalah Hanya Kerana Cinta Seorang Perempuan



Lelaki Yang Soleh Takkan Mengalah Hanya Kerana Cinta Seorang Perempuan

Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku. Semenjak bergelar mahasiswa di IPTA utara ini, bermusafir menjejak ilmu perekonomian yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidurpun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku. Aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ekonomi untuk dihadami. Serabut..?! tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke paras 3 Fakulti Ekonomi yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah!

Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu. "khabar apakah zaid di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah zaid pada husna? Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, maahad johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas kuatur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.

"zaid, maafkan husna. Husna masih menyayangi zaid. Perasaan husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas". Aku tersenyum membaca sms yang ke2. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku. Benar teman, kini dia kembali!

"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan". Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling 'bengkeng' dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan. Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh.

"Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana" Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang! Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati, tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu. Benar aku insan dhaif yang lemah.. lemah dengan cinta manusia yang sia-sia. Aku tertunduk lesu.


"Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model? Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah!"


Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung. "Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang... Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana!"

Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu. "Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!" Aku mencebik dan tersenyum sinis.


"Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini". Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya. Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. STAM, bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal kuraih pada keluargaku.


"Kau terlalu naif!" Aku tersentak, benarkah? "Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu!" Mendatar kalimah itu.


"Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu!" Aku meneliti bait-bait yang terlontar.


"Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nan indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali, Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya." Dia melepaskan satu keluhan. "Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah... sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya." Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku.


Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu. "Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah," terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan. Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan diri ini.

Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Diamasih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah. Benar, kata-katamu itu terlalu benar.

Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi. Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah... terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri. Sms husna ku balas... "Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,"

p/s: Sekadar perkongsian.Moga kita tidak meletakkan cinta kepada manusia mengatasi cinta kita kepada Pencipta..