Pages

Feb 14, 2011

SOMBONG...PENYAKIT YANG BERBAHAYA...


SOMBONG...PENYAKIT YANG BERBAHAYA...

Orang sombong memang tidak selalu orang yang kaya, orang yang pintar, ataupun orang yang tampan. Yang jelas ciri orang yang sombong tidak lain adalah:
-Mendustakan kebenaran
-Mengganggap rendah orang lain
Ciri yang pertama sudah jelas, kita adalah orang yang sangat sombong jika tidak mau mengakui kebenaran. Bahkan boleh jadi kemudian kita malah mengarang kebohongan untuk menutupi kebenaran itu. Ingat, sekali berbohong, maka selanjutnya kita akan terus berbohong, lagi, dan lagi…
Ciri yang kedua mungkin seringkali kita pandang remeh. Kita menganggap diri kita lebih tinggi darjatnya dibanding orang lain. Akhirnya, kita tidak terlalu menghargai orang lain, dan disengaja atau tidak kita boleh melukai hati dan perasaan orang yang kita anggap rendah tersebut.
Apakah ciri itu ada pada diri kita? Jika ya, segera mohon maaf, kita bukanlah orang yang sempurna, punya banyak kekurangan. Dengan mengetahui kekurangan diri, kita boleh terus memperbaiki diri.
Rasulullah pernah bersabda: “Tidak akan masuk syurga, barang siapa yang dihatinya ada kesombongan, ketakburan walau sebesar zarrah” (Al Hadis).
Salah satu cara menghilangkan sifat tamak dan rakus dengan cara menanamkan rasa syukur dan menikmati pemberian Allah apa adanya. Sifat dengki dan iri hati boleh kita hindarkan, dengan cara menerima suatu ujian dan musibah, kerana segala sesuatu yang terjadi dengan izin oleh Allah SWT.
Oleh kerana itu jika terjadi suatu kemewahan, pangkat, jabatan serta harta yang berlimpah kita harus bersyukur dan jika Allah memberikan suatu kesusahan dan kesengsaraan kita harus bersabar. Syukur jika berada di atas dan sabar bila berada di bawah. Mudah-mudahan kita selaku makhluk Allah SWT yang sempurna mampu mensyukuri dan menikmati pemberian dari Allah SWT dan terhindar dari sifat-sifat syaitan dan iblis latnatullah.
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (Al-Israa:37)
Sombong seseorang itu menghakis sifat kasih dan mesra kepada orang lain
Sombong seseorang itu menghilangkan rasa hormat pada orang lain
Sombong seseorang itu melahirkan kebencian dari orang lain
Sombong seseorang itu menghapuskan kecintaan kepada Yang MAHA ESA,
Sombong seseorang itu boleh membenamkannya ke dalam api neraka.
Wallahualam...

MY LOVE....


MY LOVE....

Saya dah berpunya. Ya, sudah lama berpunya. Kami bercinta sejak saya kecil lagi. Tapi bumi mana yang tak dilanda hujan, cinta mana yang tiada ujian. Terlalu banyak ujian dalam percintaan kami. Kadang-kadang saya curang. Saya cari cinta lain. Tak cukup dengan kehangatan cintanya. Atau mungkin saya terlupa akan kehadirannya. Tapi, dia tetap setia. Tak pernah beralih arah walaupun sesaat. Kadang-kadang saya jauh darinya, tapi dia tetap dekat dengan saya. Tak pernah pergi meninggalkan saya. Sentiasa bersama saya. Sentiasa sayangkan saya.
Banyak yang kami kongsi bersama. Tiap suka tiap duka. Tapi, selalunya saya hanya kongsi dengannya saat duka saya. Teruk kan? Bila saya sedih, saya menangis padanya. Mengadu setiap apa padanya. Dia pujuk saya dengan janji-janjinya. Dan dia tetap berada di sisi. Sentiasa. Bila saya pedih, barulah saya cari dia. Tapi sayangnya bila saya gembira, saya lupakan dia. Saya kongsikan kegembiraan dengannya hanya bila saya teringatkannya. Seperti dia tak pernah muncul dalam hidup saya. Jahatkan saya?
Terlalu banyak yang dia lakukan untuk saya. Setiap perbuatannya pasti untuk kebahagiaan saya. Walaupun saya jarang berterima kasih padanya, dia tak pernah berhenti memberikan yang terbaik pada saya. Malahan, semakin bertambah kasih dan sayangnya terhadap saya. Semakin bertambah pengorbanannya terhadap saya. Semakin bertambah cintanya terhadap saya. Malangnya, kadang-kadang saya merungut dengan perbuatannya itu. Tapi, dia tetap sabar dengan kerenah saya. Oh, jahatnya saya!!
Dia terlalu sayangkan saya. Tak pernah merungut tentang kekurangan diri saya. Tak pernah mengungkit kesilapan saya. Tapi saya? Saya selalu buat perkara yang dia tak suka. Apa yang dia suka, saya buat dengan main-main. Sampai boleh mendatangkan kemarahannya. Pernah ketika saya tak buat apa yang dia suruh. Seperti mencabar kewibawaannya. Tapi dia tetap sabar. Ya, dia sentiasa bersabar dengan saya. Apalah saya ni..
Pernah ketika, dia uji kesetiaan saya. Dia datangkan sesuatu yang buat saya lalai. Saya hanyut. Saya lupakan dia. Oh, saya gagal dalam ujian tu. Tapi, dia tetap terima saya semula. Dia maafkan saya. Baiknya dia!!
Dia memang sayangkan saya. Dia berikan sesuatu yang buat saya sentiasa mengingatinya. Terima kasih. Saya sangat-sangat berterima kasih padanya. Dengan cintanya, saya masih punya nyawa hari ini. Dengan cintanya, saya masih boleh menghirup udara hari ini. Dengan cintanya, saya masih boleh menggerakkan jari menulis entry ini. Dengan cintanya, saya diberi kesedaran kembali.
Terima kasih Ya Allah. Dengan cintaMu, aku dapat melakukan perintahMu. Maafkan aku atas kelalaianku selama ini. Kembalikanlah aku ke jalanMu yang benar. Terimalah keampunanku ya Allah. Sungguh, aku rindu padaMu. Pada kasih sayangMu. Terima kasih atas ujianMu. Buat aku sedar bahawa cintaMu adalah sebenar-benar cinta. Tiada cinta yang lebih agung dari cintaMu

BETAPA HINANYA AKU DISISIMU…


BETAPA HINANYA AKU DISISIMU…

Di saat aku ditimpa bencana, aku seringkali memohon kepadaMu.. Ketika bencana itu hilang, aku melupakanMu. Telah terlalu banyak janji- janji manis ku tabur padaMu. Aku sering memungkiri janji-janjiku padaMu. Betapa hinanya aku disisiMu…
Ku akui aku seringkali membiarkan diri ini tewas pada pautan nafsu. Aku biarkan diri ini tertipu dengan benda yang dipanggil fitrah.. Aku biarkan diri ini tenggelam dan alpa dalam nikmat dunia yang palsu.. Aku telah jadikan semua itu sebagai puncak dan matlamat pencarianku.. betapa hinanya aku disisiMu.
Aku telah menjadi semakin berani. Berani meletakkan nasib ditangan ku sendiri..Berani meletakkan diriku dalam golongan yang rugi. Mengorbankan segalanya untuk benda yang tidak pasti.. Betapa hinanya aku disisi Ilahi.
Ya ALLAH…janganlah Kau condongkan hatiku kepada kesesatan setelah Kau beri hidayah..Kau penuhi permohonanku dan mudahkanlah perlaksanaan keperluanku. Kau bantulah aku dalam memperbaiki amal ibadahku padaMu.. Kau bersihkanlah hatiku dari noda dan dosa..janganlah Kau tolak untuk memenuhinya sedangkan Engkau telah memberiku jaminan untuk itu. Janganlah Kau tutup pintuMu sedangkan Engkau telah memerintahkan aku mengetuknya.
Anugerahkanlah aku segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan di dunia dan di akhiratku dan masukkanlah aku ke dalam golongan yang berbuat baik kerana permohonan yang ku pohon dariMu dan yang mendapat hasilnya dari memohonnya dariMu, yang mendapatkan Kurnia dariMu kerana bertawakal kepadaMu dan yang mendapat perlindungan kerana melindungkan diri di bawah naunganMu.

Renungan

KELEBIHAN BERWUDHUK..


KELEBIHAN BERWUDHUK..

Bismillahirrahmanirrahim...
Menurut sirah, Rasulullah merupakan insan yang tidak pernah lekang daripada berwudhuk walaupun seminit. Wudhuk merupakan elemen yang berkait rapat dengan solat dan ibadah-ibadah lain.
Terkadang hati tertanya-tanya, mengapa disunatkan meratakan anggota wudhuk? Bukankah cukup sekiranya mengalirkan air sahaja asalkan yakin air itu sudah mengenai anggota wudhuk? Memang benar, sudah cukup sekiranya air itu sudah mengenai anggota wudhuk. Namun, setiap ciptaan Allah pasti mengandung hikmah. Tiada yang dicipta sia-sia belaka.
Antara kelebihan meratakan air pada anggota wudhuk ialah dapat mengelakkan kelesuan selain dapat melancarkan darah dan mencerdaskan otak. Selain itu, dengan meratakan air pada anggota wudhuk, dapat menyejukkan badan dan menghilangkan panas. Keadaan ini dapat mencegah daripada terkena demam.
Dalam sebuah hadis mafhumnya: “sesiapa yang berwudhuk dengan baik, dosa-dosanya akan keluar dari tubuhnya dan dosa-dosanya keluar daripada bawah kukunya”. Berwudhuk dapat meneutralkan semula cas-cas dalam tubuh badan kita kerana apabila kita melakukan dosa, lebih banyak cas-cas negatif yang dihasilkan dalam badan. Hal itu menyebabkan kelesuan dan muka yang tidak bercahaya.
Antara sunat berwudhuk ialah berkumur. Berkumur merupakan satu senaman muka dan dapat menyerikan wajah serta menenangkan jiwa.
Dengan membasuh hidung ketika berwudhuk pula, dapat membebaskan daripada kuman dan bakteria. Lubang hidung merupakan antara tempat yang disukai syaitan untuk dihuni kerana saluran hidung terus bersambung ke hati. Jadi, dapat memudahkan syaitan menghasut dan menggoda hati-hati manusia. Dengan membersihkan lubang hidung, syaitan sukar untuk menghuninya justeru menyukarkan syaitan menghasut hati.
Anggota wudhuk yang wajib dibasuh ialah muka, kedua tangan hingga ke siku, sebahagian kepala, dan kedua kaki hingga ke buku lali. Wudhuk membantu kita menghilangkan kuman dan menghilangkan lemak terutama di bahagian muka dan tangan. Malahan, wudhuk merupakan cara yang terbaik untuk menurunkan suhu badan. Disebabkan itu, makruh sekiranya seseorang lap air wudhuknya selepas berwudhuk. Cara yang terbaik ialah membiarkan air wudhuk itu kering dengan sendirinya.
Buat kaum Adam, disunatkan membasuh tengkuk kerana dikatakan di Akhirat nanti, tempat basuhan wudhuk akan bercahaya. Kaum Adam telah diamanahkan dengan pelbagai taklifan dan tanggungjawab. Taklifan itu nanti diletakkan di atas tengkuknya. Air wudhuk yang dibasuh ditengkuk dapat membantu meringankan beban tersebut.
Sedikit perkongsian daripada insan yang khilaf
Wallahu a’lam.